Beberapa bulan lepas, dalam ketika aku masih terpinga-pinga dalam kesedaran aku sudah menginjak usia 20 tahun, aku cuba untuk mendapatkan khidmat nasihat dari abah yang aku kira sangat berjaya dalam hidupnya bukti dari usaha berterusan beliau hingga kini.
Aku bertanya, soalan-soalan kuriositi yang agak awkward, kerana jarang sekali soalan sebegini aku utarakan, tentang apakah yang beliau lakukan ketika sebaya denganku dan apakah nasihat yang beliau boleh berikan buat anak muda sepertiku dalam menongkah arus kerjaya kelak. Abah membuka banyak pendapat beliau, sesuai dengan kredibiliti yang beliau sandang, tentang hubungan dengan rakan sekerja yang lain, realiti suasana di tempat kerja yang kadang tak semanis diharapkan dan sebagainya.
Ia membuatkan aku berfikir, tentang diriku sebagai remaja. Di usia muda ini, melalui pembacaan aku kepada buku-buku pelbagai subjek sepanjang cuti semester, tentang betapa inginnya aku menjadi pendukung idea atau 'pencipta' sesuatu yang berguna untuk masyarakat, sesuai dengan title 'MAHASISWA' yang terpikul di bahu, dan bukannya sebagai 'pengguna' yang masih sibuk dengan gajet apa paling terbaru untuk dipakai atau masih bersembang kencang untuk mencari 'the perfect wife'.
Dan situasi aku bertanyakan abah tentang usia remajanya, juga membuatkan aku berfikir, bagaimana kiranya suatu hari nanti, anak aku pula bertanya, apa yang aku sudah lakukan di usia remaja? Aduh, susah untuk gambarkannya kalau usia remaja aku ini penuh dengan kemalasan dan 'hidup di bawah tempurung'. Di sini juga mengingatkan aku tentang pendidikan bagaimana untuk aku bentuk anak-anak aku nanti. ( melihat beberapa sudut mentaliti masyarakat, sudah pasti aku mahukan acuan yang berbeza, supaya sekurang-kurangnya, biarlah aku ajar anak aku bahawa markah tinggi tidak penting kerana itu hanya pencapaian sendiri tetapi seberapa banyak mana mampu kita kembalikan ilmu yang kita pelajari untuk manfaat masyarakat ).
Lagipun, takut juga bila generasi aku yang sudah didedahkan dengan facebook sejak masih di menengah rendah, dengan status-status lama yang sungguh tidak matang, suatu hari nanti dibaca pula oleh anak-anak aku, fuhh jatuh pula maruah nak jadi contoh bapa mithali. Jadi, kerana itu aku akan cuba untuk penuhkan wall aku dengan paling kurang pun, tulisan yang mempunyai nilai untuk difikirkan hmm,, *tersenyum puas*
*Baru sahaja membaca buku Telling It Straight oleh Marina Mahathir, anekdot beliau ketika menjadi interviewer scholar untuk pelajar-pelajar yang kebanyakannya cemerlang dengan banyak A tapi tak mampu menganalisis fakta, sangat menyedarkan. Ada yang lantang berkata Malaysia patut meniru kegigihan orang Jerman di bawah pemerintahan Hitler namun bila dicabar tentang isu ini dari sudut negatif, dia tak mampu menjawab. Tambahnya lagi, kalau student gred A sebegini masih kosong tentang dunia sekeliling tapi hebat menghafal untuk lulus, bagaimana pula dengan pelajar-pelajar lain yang dilabel 'biasa-biasa'?
*Takut juga menjadi evangelis picisan fesbuk ( tulisan ini asalnya aku post di facebook aku ) ini, kerana idea-idea status aku cuma berkisar dalam putaran yang hanya 'cakap-cakap' tanpa keluar dari kepompong dan laksanakan idea itu dalam keupayaan bidang sendiri. Jadi aku rasa dari mengharapkan Like dari rakan-rakan, baik aku mula tegas beridea dalam tulisan yang lebih panjang di blog. Tak ada follower pun tak mengapalah, bukan itu yang aku kejar. Asalkan aku cuba menterjemahkan idea yang aku faham melalui pembacaan kepada tulisan sendiri. )